ATLET lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menganggap musim 2024 merupakan satu cabaran besar buat dirinya untuk mendapatkan rekod balingan sejauh 18 meter (m) dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Namun, pemegang rekod baharu kebangsaan itu tidak begitu berharap dengan matlamat yang diletakkan kerana lebih mengetahui bahawa saingan yang bakal dihadapi pasti lebih kuat pada musim ini.

“Saya hanya perlu membuktikan yang terbaik dalam setiap latihan dan memastikan ada penambah baikan dalam setiap balingan yang saya lakukan.

“Saya juga akui bahawa acara balapan dan padang seperti ini adalah sangat sukar dan perlu lebih belajar. Teknik peluru bukan senang,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Jonah turut menyatakan pendapatnya bahawa acara peluru dalam sukan balapan dan padang ini masih kurang mendapat perhatian dari kalangan masyarakat muda.

Salah satu puncanya adalah acara seperti ini kurang diterapkan sejak di bangku sekolah dan golongan muda pula lebih cenderung ke arah sukan bola sepak kerana berasa lebih dekat dengan mereka.

“Di Malaysia kita tahu sukan bola sepak lebih popular dalam kalangan golongan muda, jadi cara untuk membawa menarik perhatian anak muda ke arah sukan peluru mesti dari sekolah rendah lagi, seperti yang di lakukan di negara Eropah.

“Kebanyakan jurulatih di Malaysia juga hanya fokus dalam acara larian tetapi tanda disedari, banyak sumbangan pingat dari acara peluru telah diraih pada Sukan Sea lalu,” tambahnya.

Untuk imbas kembali, Jonah sebelum ini telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan baharu sejauh 17.67 m pada Kejohanan Lontaran Asia 2023 di Mokpo, Korea Selatan.