MISI menjelajah kejohanan di New Zealand dan Australia sepanjang Februari ini, dijadikan medan untuk mengumpul kekuatan bagi mencipta rekod baharu kebangsaan acara lontar peluru lelaki.
Hasrat memperbaiki catatan itu bukan rahsia lagi buat pengikut sukan olahraga tanah air, namun pemilik rekod itu, Jonah Chang Rigan benar-benar berazam mahu melakukannya demi kemajuan diri dan olahraga Malaysia.
“Tahun lalu, banyak kesilapan saya lakukan, malah saya terkejut mampu mencipta rekod ketika menyertai kejohanan di Korea Selatan.
“Jadi untuk tahun ini, saya sasarkan lontaran 18 meter ke atas, tidak jauh lagi dan hanya kira-kira 40 sentimer sahaja lagi,” kata Jonah.
Pada 24 Oktober 2023, Jonah membaharui rekod kebangsaan berusia 12 tahun milik Adi Alifuddin Hussin 17.54 meter (m) yang dilakukan di Sukan Sea Palembang, 13 November 2011, dengan catatan baharu 17.67m di Kejohanan Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan.
Impian Jonah mencipta rekod baharu itu perlu mendapat sokongan padu pelbagai pihak, jika mahu melihat Malaysia mengungguli acara terbabit pada Sukan Sea 2025 di Bangkok, Thailand tahun hadapan.
Sekiranya berjaya mencapai jarak 18m awal tahun ini, Jonah perlu berkerja lebih keras untuk mendekati rekod Sukan Sea yang dilakukan William Morrison dari Filipina, 18.14m.
Untuk menjadi pencabar dunia, Jonah, 21, perlu menghampiri pencapaian pemegang rekod asia dari India, Tejinder Toor, 20.75m.
“Saya memang mahu pecahkan rekod lagi tahun ini, banyak kejohanan pada bulan dua di New Zealand dan Australia.
“Saya akan sertai kejohanan di sana untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik selepas cuti panjang,” kata Jonah.
Sepanjang Februai ini, puluhan kejohanan olahraga diiktiraf World Athletics dianjurkan di New Zealand dan Australia boleh disertai Jonah, namun beliau belum mengetahui kejohanan yang bakal disertainya nanti.