TANPA menghiraukan tanggapan sekeliling, jurulatih menembak kebangsaan Firdaus Abdul Rahim optimis, penembak tunggal yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, Jonathan Wong, mampu membidik emas pertama buat negara.

Menurutnya, pingat emas Sukan Olimpik itu bukan hanya sasaran peribadinya, malah dikongsi bersama Jonathan sebaik melayakkan di ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Menurut Firdaus, sasaran ditetapkan beliau bukan sekadar cakap kosong namun berdasarkan pemerhatian terhadap prestasi penembak yang layak kali kedua ke Sukan Olimpik terbabit.

Jonathan Wong dan jurulatih Firdaus Abdul Rahim berlepas ke Eropah 21 April lalu hanya akan kembali ke tanah air selepas tamat saingan Piala Dunia di Munich, awal Jun depan.

“Apa yang saya lihat, Johnathan akan beraksi buat kali kedua di Olimpik, saya tahu apabila saya letakkan sasaran emas ini, orang akan cakap susah untuk Jonathan.

“Tapi dalam latihan sendiri, dia konsisten melakukan bidikan 580 mata ke atas dalam acara 10 meter (m) air pistol.

“Amat penting untuk seseorang penembak itu konsisten mencatat mata yang tinggi untuk mencapai sasaran di kejohanan utama nanti,” kata Firdaus ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, jika Jonathan mampu melakukan bidikan 582 mata ke atas, di Olimpik Paris, penembak negara itu berpeluang berada dalam lapan teratas sekali gus layak ke final: “Pemenang emas Olimpik Tokyo juga mencatat 580 mata (kelayakan).”

Penembak Iran, Javad Foroughi membidik 580 mata pada pusingan kelayakan di Tokyo, menduduki tempat kelima dalam senarai lapan terbaik ke final, sebelum cemerlang pada aksi akhir dengan memenangi emas.

Jonathan Wong konsisten membidik 580 mata dalam latihan.

Ketika ini, beliau dan Jonathan berada di Azerbaijan dan baru menamatkan siri Piala Dunia di negara terbabit, selain menyertai beberapa kejohanan tempatan, yang dirancang dalam fasa dua persiapan Jonathan ke Olimpik Paris.

“Sepatutnya Jonathan mendapat peluang menembak pada kejohanan menguji lapang sasar Olimpik, namun dia tidak menerima jemputan, jadi kita cari kejohanan lain sebagai ganti, iaitu beberapa kejohanan tempatan di Azerbaijan, satu Piala Dunia di negara itu dan satu lagi Piala Dunia di Munich Jerman.”

Tambah Firdaus, Jonathan juga menjalani latihan di Berlin, Jerman sebagai latihan persediaan menghadapi Piala Dunia di Baku dan Munich pada awal Jun nanti.

Firdaus Abdul Rahim yang kali pertama membawa penembak negara ke Olimpik, yakin Jonathan Wong lebih tenang pada penampilan kedua di temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kami masih mencari rentak yang sesuai dalam tiga kejohanan di Berliin, Baku dan Munich sebelum peaking (memuncak) pada tempat sepatutnya, iaitu di Olimpik Paris.

“Ketika ini, prestasi Jonathan, boleh dikatakan dalam pembikinan kerana ada sedikit perubahan teknikal, jadi sebagai jurulatih kita mengambil masa yang sesuai untuk memmasukkan elemen itu dalam latihan di Baku, Azerbaijan dari 6-18 Mei (12 hari),” ujar Firdaus lagi.

Katanya, Azerbaijan menjadi pusat latihan Jonathan di Eropah dan penembak negara itu akan menjalani latihan bersama-sama Olimpian negara terbabit.

Tambahnya lagi, peningkatan Jonathan ketika ini, masih pada landasan yang ditetapkan namun memerlukan penambahbaikan dari segi psikologi dan taktikal.

Jonathan dijangka kembali semula ke tanah air sebelum berlepas ke Paris dan memulaka saingan di temasya yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Untuk rekod, Jonathan layak kali ke dua ke Sukan Olimpik di Paris dalam acara 10m air pistol, Oktober tahun lalu, selepas menduduli tempat keempat dalam Kejohanan Menembak Dunia di Chanhgwon, Korea Selatan.