SKUAD Jordan bersedia untuk bermain tiga perlawanan persahabatan dalam dua minggu akan datang menjelang persiapan untuk Piala Asia 2023 di Qatar bermula pada 12 Januari 2024.

Jordan akan bermain dalam Kumpulan E bersama Malaysia, Bahrain dan Korea Selatan.

Namun begitu, pada perlawanan pemanas badan bertemu Lubnan di Tripoli yang disertai oleh beberapa pemain profesional yang bermain di luar negara baru-baru ini, The Chivalrous Ones tewas mengejut 2-1 biarpun terlebih dahulu menggegar jaring seawal minit kedua oleh Hamza Al-Dardour.

Sementara itu, Mousa Ta’mari, Yazan Arab dan Yazeed Abu Laila dari Montepellier tidak beraksi pada persahabatan pertama berikutan skuad itu akan pulang ke tanah air untuk menentang pasukan kebangsaan B-23.

Pasukan kendalian Hussein Amouta kemudiannya berlepas ke Qatar untuk menentang tuan rumah pada 5 Januari dan Jepun (9 Januari) dalam dua perlawanan persahabatan terakhir.

Dalam tujuh perlawanan yang diharungi setakat ini, Jordan masih belum mencatat kemenangan di bawah jurulatih Amouta, yang mengambil alih tugas itu pada musim panas.

Image

Pemain Jordan gigih menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023.

Semasa ditemu bual oleh Al Mamlaka TV, jurulatih Maghribi itu mengakui, pasukan kehilangan banyak peluang menjaringkan gol, mempunyai kesilapan individu dan pemain tidak konsisten dengan kelab mereka yang jelas mencerminkan prestasi mereka, terutamanya dalam perlawanan rasmi.

Dalam perlawanan persahabatan pertama mereka di bawah Amouta, Jordan tewas 6-0 kepada Norway, 2-1 kepada Azerbaijan, 3-1 kepada Iran dan mengikat Iraq 2-2 sebelum tewas menerusi sepakan penalti.

Ketika perlawanan rasmi bermula, Jordan membuat permulaan hambar dalam kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2026, mengikat Tajikistan 1-1 sebelum tewas 2-0 kepada Arab Saudi. Jordan kini menduduki tempat ke-3 dalam kumpulan kelayakan Piala Dunia selepas Arab Saudi menewaskan Pakistan 4-0 manakala Tajikistan membenam Pakistan 6-1

Sebanyak 36 pasukan Asia bermain dalam sembilan kumpulan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke Pusingan 3. Jordan kini berada di kedudukan ke-87, Arab Saudi ke-56, Tajikistan ke-106 dan Pakistan ke-195.