PENYERANG Terengganu FC, Jordan Mintah menyatakan perlawanan suku akhir Piala FA menentang Kelantan FC adalah hari paling menggembirakan buat dirinya apabila melihat rakan sepasukan Syafik Ismail dapat menjaringkan gol.

Sebelum ini tular video yang disiarkan TFC TV menunjukkan bagaimana Mintah memujuk dan memberikan kata-kata semangat kepada Syafik yang kelihatan kecewa kerana gagal menjaringkan gol ketika bertemu Sabah FC.

Mintah berkata sebagai pemain import, salah satu tanggungjawabnya adalah untuk memberi semangat dan dorongan kepada pemain tempatan apabila mereka tidak beraksi dengan baik dan atas sebab itu, dia sangat gembira dengan jaringan Syafik atau lebih mesra disapa Kacang.

Aksi Mintah ketika perlawanan menentang Kelantan FC.

“Bagi saya perkara yang paling penting adalah untuk terus beri sokongan dan dorongan kepada pemain tempatan kerana kadang-kala mereka akan rasa tertekan, jadi saya perlu beri sokongan kepada mereka.

“Hari ini saya sangat gembira apabila Kacang (Syafik) dapat menjaringkan gol kerana sebelum ini dia sering berasa kecewa apabila tidak dapat jaringkan gol dan ini adalah hari paling gembira buat saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam aksi suku akhir yang menyaksikan Terengganu menumpaskan pasukan jiran, Kelantan FC 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Mintah masuk sebagai pemain gantian dan dia kelihatan sangat gembira meraikan jaringan Syafik yang juga gol keempat Terengganu.

Mintah dan Liridon meraikan jaringan Syafik Ismail

Ditanya sama ada dia mahu bertemu Sabah FC atau Kuala Lumpur City FC pada peringkat separuh akhir, dia tidak kisah tetapi apa yang penting adalah dia akan sentiasa memberikan aksi terbaiknya untuk Terengganu yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya.

Dia juga meletakkan sasaran untuk mengulangi kejayaan Terengganu layak ke final Piala FA sekali lagi selepas melakukannya pada musim lalu sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tahun ini kami akan lakukan yang terbaik untuk layak ke final sekali lagi dan kami perlu lakukan perkara ini sebagai satu pasukan. Ianya pasti bukan perlawanan yang mudah dan saya bersedia untuk bertemu siapa pun yang layak ke separuh akhir,” tambahnya.