PASUKAN Jordan mencatat kemenangan pertama dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menumpaskan Palestin dengan keputusan 3-1.

Beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang berkecuali, Palestin turun sebagai tuan rumah dalam perlawanan ini dengan motivasi yang baik selepas mencatat keputusan seri 0-0 dengan Korea Selatan pada aksi sebelum ini.

Manakala Jordan pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas turut mencatakan keputusan seri 1-1 dengan Kuwait di Amman sebelum ini.

Kedua-dua pasukan bermula dengan garang apabila melancarkan serangan awal terhadap kubu pertahanan lawan masing-masing.

Gol pertama perlawanan berjaya dihasilkan seawal minit ke-5 apabila Yazan Al Naimat melakukan larian solo untuk melepasi beberapa pemain sebelum berjaya membolosi gawang gol Palestin.

Tersentak dengan jaringan itu, Palestin melakukan beberapa percubaan terhadap pintu gawang Jordan namun berjaya dikawal oleh Yazeed Abulaila.

Palestin akhirnya berjaya membolosi gawang gol Jordan pada minit ke-41 apabila Wessam Abouli menanduk masuk bola ke dalam pintu gol selepas menerima hantaran baik daripada Camilo Saldana.

Bersambung babak kedua, Jordan tampil dengan permainan yang lebih garang, membuatkan Palestin sedikit goyah di bahagian pertahanan.

Dua jaringan Jordan pada separuh masa kedua dihasilkan oleh Yazan Al Naimat pada minit ke-50 dan Noor Al Rawabdeh pada minit ke-72 membolehkan pasukan itu pulang ke Amman dengan tiga mata penuh.