JORDAN akan turun ke Kuala Lumpur tanpa kelibat pemain terbaiknya, Mousa Al-Tamari menjelang pertemuan dengan Palestin malam esok.
Perkara itu telah disahkan oleh pengendali Jordan, Jamal Sellami dalam sidang media pra perlawanan di Kuala Lumpur hari ini.
Pemain Montpellier itu mengalami kecederaan ketika bertemu Kuwait dalam aksi pembukaan di Amman dan telah dikeluarkan pada minit ke-63 dalam perlawanan itu.
Dengan kecederaan yang dialami oleh beliau, persiapan pasukan Jordan terpaksa diubah namun Jamal Sellami telah mengenal pasti pemain yang akan menduduki posisi yang kosong itu.
“Semua pemain Jordan berada dalam keadaan baik. Kita sudah pun menjalani latihan dua kali sejak tiba di Malaysia namun tidak dapat menurunkan khidmat Musa Al-Taamari.
“Beliau mengalami kecederaan ketika menentang Kuwait dan kita sudah mengenal pasti pengganti sesuai pada posisinya.
“Kami tidak akan membuat perubahan besar-besaran kerana kesemua pemain lain juga dalam keadaan baik setakat ini,” katanya.
“Segala perkara yang tidak betul dalam perlawanan sebelum ini (Kuwait) kami akan belajar daripadanya dan akan memperbaikinya untuk aksi bertemu Palestin esok,” tambahnya lagi.
Perlawanan aksi kedua Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 diantara Palestin dan Jordan bakal berlangsung jam 10 malam esok di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.