PELUMBA Prima Pramac, Jorge Martin mencatat masa terpantas pada hari pembukaan ujian pra musim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang yang bermula pada Selasa.

Martin mencatat masa 1 minit 57.951 saat pada pusingan ke-22 dari jumlah 59 pusingan yang dilakukan pelumba Sepanyol itu untuk hari pembukaan yang baik buat Ducati.

Sementara itu pelumba Red Bull GASGAS Tech3, Pedro Acosta meneruskan rentak cemerlang apabila dia berjaya menyamai rekod sepusingan miliknya ketika sesi Sepang Shakedown untuk mencatat masa kedua terpantas keseluruhan.

Ketinggalan hanya 0.008 dibelakang juara Moto2 adalah Fabio Quatararo di tempat ketiga dengan pelumba Yamaha itu mempamerkan tunggangan bergaya sekaligus memberikan prestasi baik buat pengeluar Jepun yang bergelut itu.

Martin yang ditemui selepas akhir sesi berkata dia tidak memikirkan tentang masa terpantas sebaliknya hanya fokus kepada kesesuaian jentera menjelang musim baharu.

“Saya tidak terlalu melihat kepada catatan masa kerana lebih fokus untuk memahami enjin mana yang lebih baik kerana pasukan meletakkan fokus kepada enjin baharu.

“Kami mempunyai beberapa perkara positif dan juga negatif oleh itu kami perlu terus bekerja keras. Tetapi secara keseluruhan ianya adalah hari yang baik dan saya dapat melakukan banyak pusingan.

“Ini membuatkan saya rasa gembira dan rasa lebih bersedia untuk mengharungi dua hari ujian lagi selepas ini,” katanya.

Sesi ujian musim sejuk MotoGP 2024 bakal bersambung pada Rabu dan Khamis dengan kesemua pasukan mahu mendapatkan set up terbaik sebagai persiapan menghadapi musim baharu.

Musim MotoGP 2024 bakal bermula di Grand Prix Qatar pada 10 Mac 2024 dan berakhir di Grand Prix Valencia pada 17 November 2024 dengan para pelumba bakal mengharungi 21 perlumbaan.

Grand Prix Malaysia Petronas bakal menjadi pusingan ke-20 pada 3 November 2024 dengan berpeluang untuk menabalkan juara dunia kategori Moto3, Moto2 dan MotoGP.