PELUMBA Prima Pramac Racing, Jorge Martin menolak andaian awal bahawa dia bakal menjadi pencabar utama Pecco Bagnaia untuk kejuaraan MotoGP musim ini sebaliknya dia hanya mahu fokus untuk meningkatkan skil tunggangannya.
Martin dan Bagnaia masing-masing adalah seteru utama ketika musim 2023 dengan penentuan juara hanya berlaku pada pusingan terakhir di Grand Prix Valencia dengan Martin ketinggalan 39 mata selepas terkeluar dari perlumbaan.
Pelumba Sepanyol berusia 26 tahun itu menamatkan sesi ujian pramusim MotoGP Sepang Test ditangga kedua setakat sesi pagi dengan catatan masa 1 minit 56.854 saat dan dia itu sudah cukup untuk memberikan keyakinan buatnya menghadapi musim 2024.
“Saya berasa bagus dengan pusingan yang baik di bawah 1 minit 57 saat di mana saya berasa lebih kompetitif berbanding semalam dan dapat merasakan kami mempunyai pakej yang sesuai untuk musim 2024 ini.
“Buat masa ini masih terlalu awal untuk meletakkan saya sebagai pencabar kerana saya hanya fokus kepada diri sendiri dan meningkatkan kualiti tunggangan. Saya banyak belajar dari kesilapan musim lalu tetapi siapa tahu mungkin saya yang akan menewaskan Pecco,” katanya di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Dia juga turut mengakui semakin serasi dengan jentera musim ini dan menjangkakan lebih ramai pelumba bakal memberikan cabaran berdasarkan data yang diperolehi ketika sesi ujian kali ini.
“Saya bersedia untuk semua keadaan musim ini dan meskipun sukar untuk menganalisa keadaan jentera selepas ujian ini, saya jangkakan lebih ramai pelumba akan tampil sebagai pencabar yang mana bukan hanya saya dan Pecco,” jelasnya.
Musim baharu MotoGP 2024 bakal membuka tirai pada 10 Mac di Grand Prix Qatar dengan semua pelumba akan mengharungi 21 perlumbaan secara keseluruhan.