BAPA kepada juara dunia Formula Satu yang juga bekas pemandu Jos Verstappen, mendedahkan bahawa dia gembira Max Verstappen menjuarai Grand Prix Emilia Romagna di Litar Imola hujung minggu lalu.
Verstappen dan Hamilton bertarung sengit ketika perlumbaan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi musim lalu, yang mana pelumba Belanda itu muncul juara secara kontroversi pada Disember.
Di bawah peraturan rekaan baharu untuk musim 2022, jentera Mercedes Hamilton nyata tidak mempunyai kelajuan diharapkan jika dibandingkan dengan jentera Red Bull dan Ferrari dengan Verstappen dan Charles Leclerc masing-masing mencatat dua kemenangan dari empat perlumbaan awal.
Juara dunia tujuh kali itu mengalami permulaan musim yang mengecewakan apabila hanya menamatkan perlumbaan di tangga ke-13.
Tambah malang dia dipintas satu pusingan oleh Verstappen manakala teman sepasukan, George Russell menghabiskan perlumbaan di tempat keempat.
Menulis di dalam kolum khas di laman web rasminya, Jos secara berseloroh menyatakan dia sangat berpuas hati melihat anaknya memintas Hamilton untuk mendahului satu pusingan.
“Max mempunyai hujung minggu yang sempurna di Imola. Saya dapati dia sangat bagus dan tidak melakukan apa-apa kesilapan sekalipun dan berjaya mengawal perlumbaan.
“Red Bull berjaya memberikan jentera yang mantap dan sejujurnya saya gembira melihat Max memintas Hamilton selepas apa yang berlaku tahun lalu. Ianya bukan peluang yang sering datang untuk anda memintas Mercedes satu pusingan,” ujarnya.
Komen Jos bukanlah yang pertama ditujukan kepada Hamilton oleh kem Red Bull. Sebelum ini, penasihat pasukan Helmut Marko mencadangkan bahawa pelumba Britain itu sepatutnya memilih untuk bersara selepas tamat musim lalu.
Hamilton telah mengisytiharkan dirinya sudah terkeluar dari saingan kejuaraan pemandu musim ini manakala bos Mercedes, Toto Wolff meminta maaf secara terbuka kerana gagal memberikan jentera yang layak kepada juara dunia itu.
Kemenangan Max di Imola kembali merancakkan misi mempertahankan kejuaraan beliau. Kesilapan di penghujung perlumbaan oleh Leclerc membantu Max merapatkan jurang kepada hanya 27 mata dari pelumba Monaco itu.
Perlumbaan F1 seterusnya akan berlangsung pada 6-8 Mei di litar baharu dengan Grand Prix Miami bersedia menyambut kehadiran pelumba dan peminat Formula Satu buat pertama kali.