PEMAIN naturalisasi Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue tidak menyembunyikan harapannya untuk mengisi barisan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia AFC 2023.

Walau bagaimanapun Josue mengambil langkah terdekat dengan menumpukan perhatiannya bersama aksi di kelab terlebih dahulu untuk memikat barisan kejurulatihan.

Josue yang melakukan debutnya bersama skuad kebangsaan ketika menentang Turkmenistan di Johor Bahru pada 23 Mac 2023 menganggap Malaysia mempunyai peluang untuk layak ke peringkat seterusnya meskipun diundi dalam kumpulan yang boleh dianggap sukar.

“Ianya kumpulan yang sukar kerana Piala Asia menampilkan kesemua skuad kebangsaan yang terbaik. Saya berharap Malaysia dapat lakukan persiapan yang baik menjelang aksi di Piala Asia. Tidak ada yang perlu dirisaukan kerana perlawanan melibatkan 11 lawan 11 pemain dan Harimau Malaya mempunyai tiga perlawanan untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Saya akan menyokong sama ada sebagai pemain jika saya terpilih atau menjadi penyokong sekiranya tidak terpilih dan menyokong mereka untuk melihat pasukan kebangsaan beraksi baik dan layak ke pusingan 16 terbaik.

“Peluang untuk saya terpilih akan sentiasa ada selagi saya bermain baik di KL City. Apa yang penting sekarang adalah membantu kelab ini mendapat keputusan yang baik dalam saingan liga dan selagi segalanya baik di sini peluang saya akan bertambah baik untuk menarik perhatian Kim Pan-gon,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada sesi latihan kelab menjelang aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC Ahad ini.

Skuad Kebangsaan diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dengan Jordan bakal menjadi lawan pertama dan permulaan yang positif akan menjamin peluang yang lebih cerah mata untuk layak ke peringkat kalah mati.

Sementara itu, Kuala Lumpur City FC kini dalam pemburuan kemenangan keenam berturut-turut dalam semua pertandingan dan Josue menganggap ianya bukan tekanan sebaliknya mahu mengekalkan momentum kemenangan bagi memastikan KL City kekal bersaing dalam kelompok teratas liga.