DIOGO Jota memberikan sambutan luar biasa apabila Liverpool menang 3-0 ke atas Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana di Stadium Anfield, pada Ahad.

Jota memulakan pesta gol Liverpool pada minit ke-31. Dia berjaya memanfaatkan bola hasil rembatan Darwin Nunez yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Nottingham, Matt Turner.

Selepas menjaringkan gol, Jota berlari ke arah bangku pemain dan mengambil jersi Luis Diaz. Pemain Portugal itu kemudian membentangkan jersi nombor 7 Diaz.

Ia sebagai tanda simpati yang mendalam terhadap insiden yang dialami pemain sayap itu.

Image

Diaz tidak bermain kerana ibu bapanya menjadi mangsa penculikan di Colombia. Diaz sedang berkoordinasi dengan polis tempatan untuk menghantar pulang semua ahli keluarga yang hilang.

Daily Mail melaporkan bapa dan ibu Diaz diserang hendap di jalan raya di bandar Barrancas, La Guajira, hujung minggu ini. Kedua-dua mereka kemudian dimasukkan ke dalam kereta yang dibawa oleh penculik itu.

Menurut laporan terkini, ibu Diaz, Cilenis Marulanda, telah diselamatkan. Bagaimanapun, suaminya masih hilang atau dalam kurungan.

ARTIKEL BERKAITAN : Ibu Luis Diaz diselamatkan selepas diculik, bapanya masih hilang

Polis mengesyaki bahawa penculik kini telah menyeludup bapa Diaz keluar dari Colombia. Bapanya dipercayai telah menyeberangi sempadan ke negara jiran Venezuela.

Berita penculikan Diaz hanya diketahui sejurus sebelum aksi Liverpool dan Nottingham. Jurulatih kelab, Jurgen Klopp memutuskan untuk tidak menyenaraikan Diaz menentang Nottingham.

Rakan sepasukan Diaz di Liverpool turut memberikan sokongan penuh kepada bintang itu.