KUALA Lumpur (KL) City FC terus mempersiapkan jentera pasukannya dengan merekrut pemain-pemain baharu untuk bersama dengan mereka, menjelang saingan bola sepak musim 2024-2025 yang akan berlangsung Mei hadapan.

Pemain kelahiran Bosnia, Jovan Motika antara awang import baharu skuad ibu kota itu setelah kehadirannya diumumkan sendiri menerusi laman Instagram rasmi, KL City FC.

Jovan yang berusia 26 tahun difahamkan baru sahaja menjejakkan kaki di bumi Malaysia pada pagi semalam Jumaat, dan pastinya skuad The City Boys tidak sabar untuk menerima sentuhan daripada peledak berbisa pasukan Bjelovar ini pada saingan yang akan datang.

Menurut Jovan, ini merupakan kali pertama dirinya berada di Malaysia dan mewakili pasukan di Asia. Sudah tentu dia berharap agar keserasian dalam hubungan antara pemain dan jurulatih akan segera terjalin sebelum sepak mula Liga Malaysia berlangsung.

“Selepas 16 jam perjalanan ke Malaysia, saya berasa sangat letih. Namun, saya sudah berada di Malaysia dan ini suatu perancangan baharu buat saya.

“Sejujurnya saya tidak berapa tahu mengenai bola sepak di Malaysia dan saya harap saya dapat beraksi dengan baik di negara ini, terutama dapat membantu pasukan KL City di atas padang nanti.

Jovan ditemui di Stadium MP Selayang selepas aksi persahabatan antara PDRM FC dan KL City FC tamat.

“Malaysia adalah masa hadapan saya. Saya akan kembangkan karier bola sepak saya di sini,” ujar Jovan ketika ditemui FLASH SUKAN pada Jumaat.

Sebagai rekod, Bjelovar merupakan kelab bola sepak dari Croatia dan Jovan telah mempamerkan aksi memberangsangkan bersama bekas pasukannya itu selama dua tahun (2022-2023).

Musim lalu sahaja, pemain ini sudah berjaya menyumbat 10 jaringan dalam keseluruhan enam penampilan yang dilakukan bersama pasukan.