PRESIDEN  Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mengesahkan pihaknya akan menjual pasukan Liga M3 KL Rovers.

Katanya,  hasil daripada penjualan kelab tersebut dapat membantu KLFA untuk melunaskan hutang yang masih tertunggak kepada pemain dan barisan pengurusan KL City FC.

Sebanyak RM2 juta perlu dicari segera demi menutup hutang tahun 2023 dan salah satu inisiatif bernas adalah dengan menjual KL Rovers kepada pihak yang betul-betul profesional dan ‘mampu’ dari segi kewangan.

“Segala peruntukkan perbelanjaan KL Rovers akan diperoleh kembali apabila kita menjual pasukan tersebut.

Presiden KLFA, Khalid Samad memaklumkan penjualan KL Rovers pada sidang media yang berlangsung pada Jumaat.

“Dalam masa yang sama, untuk kita kekalkan KL Rovers, untuk bagi mereka masuk ke Liga Super, kita perlu jual mereka.

“Setakat ini, terdapat dua atau tiga entiti yang nampaknya berminat untuk membeli KL Rovers. Kita juga percaya apabila KL Rovers berjaya mendapatkan lesen ke Liga Super, mungkin lebih ramai yang akan berebut untuk memiliki pasukan ini.

“Nilai jualan itu terpulang kepada pihak yang ingin membeli kerana ada yang tawarkan lebih tinggi. Namun, berdasarkan pengalaman saya sepanjang 3-4 tahun ini, sekadar ‘cakap’ ini kadangkala tidak boleh dipakai juga,” ujar Khalid dalam sesi sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Kumpur, Cheras.

Mengenai lesen ke Liga Super, KL Rovers berkemungkinan besar bakal layak bermain di liga berprestij Malaysia itu, oleh kerana gelaran naib juara Liga M3 yang dirangkul musim lalu.

Pasukan KL Rovers menduduki tempat kedua Liga M3, di bawah Imigresen FC.

Andai kata KL Rovers dimiliki oleh tuan baharu yang lebih pakar dan bijak dalam segi kewangan, ianya juga akan mempermudahkan lagi perjalanan KL Rovers dalam mengisi slot khas Liga Super, menggantikan Kelantan FC.

Terdahulu,  KL City FC dilaporkan berdepan dengan baki tunggakan bayaran gaji bernilai RM2 juta untuk tahun 2023.

Artikel Berkaitan: Tunggakan hutang sekitar RM2 juta, KL City enggan ‘potong’ perbelanjaan kelab

Pihak KLFA kini sedang bertungkus lumus untuk memburu nilai tersebut daripada penaja-penaja baharu yang dengan rela hati ingin menaja perbelanjaan kelab mereka dalam saingan bola sepak musim 2024/2025.