PENGENALAN jualan tiket rahmah, inisiatif yang dilakukan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang untuk perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia nyata berjaya meningkatkan jualan tiket menjelang hari perlumbaan pada 10 hingga 12 November ini.
Tiket rahmah yang dijual pada harga RM49.90 itu memberikan peminat akses ke ‘K2 Hillstand’ yang menjanjikan satu pemandangan cantik antara selekoh ketiga dan keempat di mana adegan potong memotong banyak berlaku di kawasan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata inisiatif ini berjaya menarik perhatian peminat-peminat MotoGP yang mahu menyaksikan aksi perlumbaan motosikal terhebat dunia itu di depan mata sendiri dengan harga yang berpatutan.
“Sejak diperkenalkan tiket rahmah ini, kita boleh lihat jualan meningkat dan ianya membantu jumlah jualan tiket keseluruhan Grand Prix MotoGP Malaysia terutama pada sebulan terakhir menjelang perlumbaan.
“Kita mendengar rintihan daripada para peminat yang mengadu tentang harga tiket yang sedikit tinggi, jadi tahun ini dengan kerjasama KBS, kita dapat wujudkan satu peluang dan ruang untuk peminat dapatkan tiket pada harga rahmah.
“Selain tiket rahmah, pihak kami juga ada menyediakan jualan makanan dan minuman menu rahmah selain parkir secara percuma dengan konsep siapa cepat dia dapat untuk peminat sama-sama merasai kehangatan perlumbaan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Dalam waktu yang sama, Shafriman berbangga dengan kerjasama antara SIC dan Petronas yang menyaksikan litar itu kini digelar Litar Antarabangsa Petronas Sepang dalam perjanjian ‘naming rights’ selama tiga tahun berkuat kuasa serta merta.
“Saya dengan rasa rendah hati berterima kasih kepada Petronas kerana mempercayai visi kami dan berganding bahu dalam kerjasama ini yang akan memberikan lebih impak kepada lanskap permotoran negara,” jelasnya.
Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas akan menyaksikan pertarungan hebat pelumba dari tiga kelas — Moto3, Moto2 dan MotoGP dalam mencari juara keseluruhan musim ini yang berbaki tiga perlumbaan dan Litar Antarabangsa Petronas Sepang sudah bersedia untuk menjadi penentu.