PENGENDALI skuad Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia percaya dengan kemampuan pasukannya untuk layak ke final selepas beraksi baik dalam aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Isnin.
JDT menampilkan kebangkitan dramatik untuk mengecewakan Selangor TOT United meskipun ketinggalan 0-3 pada awal babak pertama untuk menang 7-5 sekaligus membawa kelebihan aggregat untuk separuh akhir kedua.
“Perlawanan ini sukar tetapi ianya perlawanan yang baik dengan banyak jaringan dihadapan penyokong yang ramai. Kami bermain baik namun tiga kesilapan berikan lawan gol dan ini adalah sesuatu yang perlu kami belajar tetapi pemain sudah berikan yang maksimum dan saya gembira dengan kemenangan ini.
“Kami menang dan akan terus lupakan kemenangan ini dan kembali fokus untuk separuh akhir kedua. Ianya agak sukar kerana tempoh pemulihan yang pendek namun saya yakin dengan pasukan saya.
“Ini kerana saya bersama mereka berlatih setiap hari dan saya tahu kekuatan mereka tetapi apa yang penting kami sentiasa hormati lawan dalam apa juga keadaan dan jangkakan aksi yang sukar pada separuh akhir kedua nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Juan Antonio juga menyeru penyokong JDT untuk hadir memberikan sokongan ketika beraksi di Pasir Gudang kerana pemain akan lebih bersemangat jika beraksi di stadium yang penuh dan akan memberikan aksi yang baik sebagai hadiah kepada para penyokong.