PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz mengakui tiga mata penuh yang berjaya dikutip adalah sangat penting bagi memastikan Harimau Selatan berada di landasan terbaik untuk layak ke pusingan 16 terbaik.
Muniz bermain baik ketika membantu JDT menewaskan Ulsan HD 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus merakam kemenangan kedua musim ini di pertandingan elit Asia itu.
Namun dia tetap tidak mahu dibuai mimpi dan menganggap laluan JDT masih jauh dan perlu mengambil pendekatan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain untuk memastikan mereka terus fokus dalam mencari kemenangan.
“Ianya adalah kemenangan yang penting di tempat sendiri. Kami menambah tiga lagi mata menjadikan jumlah tujuh mata keseluruhan dan selepas ini perlawanan yang sukar di China.
“Kami akan cuba bawa membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata untuk layak membuka laluan layak ke peringkat seterusnya namun kami akan ambil pendekatan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Pemain berasal dari Sepanyol itu turut gembira dengan prestasi pasukan di Liga Juara-Juara terutama selepas bangkit dari kekalahan di tangan Gwangju FC pada perlawanan ketiga Oktober lalu.
“Kami sentiasa bermain baik di Liga Juara-Juara terutama di laman sendiri dan sedikit rugi tidak membawa pulang satu mata di Gwangju tetapi hari ini, kami bermain baik sejak awal dan berjaya menguasai permainan.
“Semua sedar pasukan dari Korea gemar bermain secara fizikal jadi kami kekalkan intensiti dan banyak berlari sejak permainan bermula ditambah dengan kualtiti yang kami ada dan akhirnya tiga mata ini sangat penting buat kami,” jelasnya.
Selepas berakhir empat perlawanan, JDT kini ditangga ketiga dengan tujuh mata selepas mencatat dua kemenangan, satu seri serta satu kekalahan dan akan bertemu Shandong Taishan di tempat lawan pada 26 November nanti.