PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT) Juan Muniz tidak mahu menganggap kemenangan 5-1 keatas Kuala Lumpur City FC adalah hasil persembahan cemerlang dirinya sebaliknya memberikan kredit kepada rakan-rakan sepasukan yang bermain sebagai satu unit.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu, Muniz berjaya menjaringkan dua gol dan melakukan dua bantuan jaringan untuk memberikan kemenangan ketiga berturut-turut buat Harimau Selatan.
Pemain berasal dari Gijon, Sepanyol itu turut gembira apabila kembali meledak menerusi sepakan percuma selepas gagal pada perlawanan pertama ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim.
“Kami tahu perlawanan ini adalah sukar kerana KL City adalah pasukan yang baik terutama di laman mereka dan kami juga kurang biasa bermain pada waktu petang kerana sering bermain pada sebelah malam.
“Walaupun sukar di sini tetapi kami bermain baik pada separuh masa pertama dan memanfaatkan peluang tetapi pada babak kedua kami lebih baik hingga dapat menjaringkan tiga lagi gol untuk membawa pulang tiga mata.
“Pada perlawanan pertama saya gagal sempurnakan dua sepakan percuma dan hari ini saya dapat jaringkan gol tetapi apa yang penting adalah persembahan kami sebagai satu pasukan kerana aksi pertama sebelum ini tidak begitu baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Dia juga mahu menggunakan tempoh rehat hampir tiga minggu untuk berlatih lebih baik sebelum menempuh cabaran Piala FA dan Liga Super yang akan bersambung pada 15 Jun 2024.
Muniz menjaringkan gol pada minit akhir pada pertama sebelum meledak satu lagi gol dari luar petak penalti pada pertengahan babak kedua dan menjadi pengumpan buat Fernando Forestieri dan Syahmi Safari untuk melengkapkan kemenangan bergaya JDT di hadapan 4,570 orang penyokong di Cheras.