KEM latihan pusat skuad Bawah 19 (B-19) negara telah bermula pada Isnin, menyaksikan majoriti pemain daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC menyertai latihan menjelang Kejuaraan Asean B-19 ini.

Tidak dinafikan, pemain-pemain daripada dua kelab gergasi ini mempunyai potensi besar dalam pembangunan bola sepak negara, bahkan Ketua jurulatih, Juan Torres Garrido turut mengakui perkara ini.

Menurut pengendali pasukan, kehadiran dua kelab (JDT dan Selangor FC) masing-masing menyumbang aura positif ke dalam arena bola sepak negara kerana mempunyai pemain yang berkualiti dari peringkat akar umbi lagi.

Juan Torres ketika ditemui di Padang UM Arena.

“JDT dan Selangor sangat penting dalam bola sepak kerana sebelum ini, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang banyak menyumbang kebanyakan bakat muda. Tetapi, sekarang JDT mempunyai akademi yang menjadi pendekatan terbaik buat pemilihan skuad negara.

“Saya berharap supaya akan lebih banyak kelab melakukan perkara seperti ini. Buat masa ini, JDT dan Selangor sangat dominan, selain AMD yang merupakan satu platform sangat baik dalam mengembangkan bakat anak muda,” ujarnya ketika ditemui pada Isnin.

Seramai 28 pemain secara keseluruhan telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 menjelang Kejuaraan Asean yang akan bermula pada 19 Julai depan menentang pasukan Brunei.

Skuad B-19 ketika menjalani latihan hari pertama.

Oleh itu, dalam 28 senarai pemain yang dikeluarkan, seramai 12 pemain JDT dan lapan pemain Selangor FC telah menyertai sesi latihan sekali gus Juan Torres beranggapan bahawa tiada tekanan yang dirasai buat skuad B-19 kali ini.

“Saya merasakan bahawa ini bukan pasukan yang sama seperti sebelumnya, ini pasukan yang berbeza. Jadi tiada tekanan yang perlu dirasakan kerana ini kelompok pemain baharu.

“Kami hanya perlu menunjukkan kepada pemain ini bahawa mereka berada pada fasa terbaik dengan situasi ketika ini untuk menampilkan prestasi cemerlang pada perlawanan mendatang,” tambahnya.