PENGENDALI skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun, Juan Torres Garrido meluahkan rasa lega dan gembira akan prestasi terkini pasukannya, setelah mencapai dua keputusan positif dalam aksi persahabatan menentang India sebelum berlepas ke Qatar pada 1 April 2024.

Skuad B-23 bakal berdepan dengan cabaran lebih sengit di sana, iaitu menentang pasukan China dan Qatar sebelum memulakan aksi sebenar dalam saingan Piala Asia B-23 pada April hadapan.

Menurut Juan, sesi latihan secara berterusan dan dua perlawanan persahabatan yang diharungi telah memberi satu impak positif kepada pasukan, sekali gus menambah baik momentum kecergasan anak buahnya.

“Saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan setakat ini. Mereka sudah lalui beberapa perlawanan dan latihan yang kukuh, jadi kini mereka sedang cuba untuk ke hadapan, buktikan yang terbaik.

Juan optimis bahawa anak buahnya dapat pamer aksi terbaik pada perlawanan sebenar kelak.

“Paling penting sekali, tiada kecederaan yang menimpa pemain setakat ini dan mereka dalam keadaan cergas sepenuhnya untuk aksi-aksi seterusnya,” ujarnya selepas tamat perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pengendali pasukan B-20 itu turut menegaskan bahawa anak buahnya sepatutnya sedang berada di tahap lebih bersedia untuk perlawanan akan datang, dan berharap agar mereka dapat tonjolkan permainan yang lebih berkualiti dan terbaik, semasa bertemu China pada 3 April.

“Saya berharap agar mereka akan menemui rentak sewajarnya dan menjadi yang lebih baik ketika menentang skuad China.

“Itu adalah satu ujian penting bagi kami dan semoga skuad sudah siap sepenuhnya, beberapa hari sebelum menjelang perlawanan sebenar,” katnya.