KUALA Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak apabila Jelajah Trofi Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 (Piala AFF)  meneruskan kembaranya ke ibu negara Malaysia pada Sabtu ini. 

Acara yang diadakan di Centre Court, AEON Shah Alam itu akan turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga lagenda Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli, dan Amri Yahyah yang pernah membawa Malaysia menjulang kejuaraan pada 2010.

Acara ini menawarkan peluang istimewa untuk peminat berjumpa dengan pemain-pemain lagenda Harimau Malaya melalui sesi “Meet & Greet” yang tiketnya boleh dimenangi menerusi laman web dan platform media sosial @aseanutdfc.

Selain itu, peminat bola sepak juga berpeluang menyertai klinik bola sepak khas yang dianjurkan oleh Mitsubishi Electric, di mana Norshahrul, Mahali, dan Amri akan membimbing kelompok pemain muda dalam aktiviti latihan khas. 

Klinik bola sepak turut dianjurkan sempena Piala AFF ini.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mitsubishi Electric dalam mengembangkan minat bola sepak dalam kalangan generasi muda.

Jelajah Trofi AAsean Mitsubishi Electric 2024 sebelum ini telah singgah di Bangkok serta Singapura, dan akan meneruskan perjalanan ke Hanoi, Jakarta, dan Manila.

Acara ini turut memperkenalkan kepada peminat bola sepak rantau Asean tentang persiapan menuju edisi ke-15 Piala Asean Mitsubishi Electric yang akan bermula pada Disember ini, dengan Thailand bersedia mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada 2022.

Sebagai tambahan, perlawanan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste pada 8 dan 15 Oktober akan menentukan siapa yang akan layak ke peringkat kumpulan kejohanan yang bermula pada 8 Disember nanti.

Bagi peminat bola sepak, ini adalah peluang keemasan untuk menyaksikan trofi bersejarah serta berinteraksi dengan ikon bola sepak Malaysia.

Pameran trofi ini berlangsung dari jam 11 pagi hingga 5 petang dan terbuka secara percuma kepada umum.