KEDUDUKAN Sabah di tempat kedua Liga Super nyata mengujakan banyak peminat bola sepak tempatan dengan corak permainan bola sepak yang menarik untuk ditonton.

Apa yang menarik, jika kedudukan ini dapat dikekalkan, Sang Badak akan bermain di peringkat Asia tahun hadapan bersaing dalam Piala FA bersama-sama pasukan Asean yang lain.

Mereka juga sudah membuktikan kemampuan ketika hampir mengikat pasukan 16 terbaik Asia musim ini, Johor Darul Ta’zim walaupun terpaksa akur apabila tewas pada minit akhir perlawanan.

 

Selepas itu, Sabah diuji pula pasukan semi finalis Zon Asean Piala AFC, Kedah Darul Aman FC dan mereka berjaya melakukan ‘come back‘ untuk mengikat skuad Hijau Kuning di laman lawan.

Kini mereka akan turun menentang pasukan yang baru sahaja ditabal juara Zon Asean dalam Piala AFC dan ini boleh dijadikan kayu pengukur sama ada Sabah sudah bersedia atau tidak untuk bersaing di peringkat Asia.

Kuala Lumpur City FC sudah pasti mahu meneruskan rentak cemerlang mereka dan kali ini mahu kembali mencabar dalam Liga Super dengan kemenangan boleh melonjakkan anak-anak buah Bojan Hodak ke tangga kelima.

Dengan kesemua pemain utama berada dalam keadaan yang baik, KL City sudah bersedia untuk menghadapi ancaman Sabah FC meskipun mempunyai rekod yang kurang baik di laman lawan musim ini.

Perlawanan menentang Sabah ini juga akan digunakan oleh KL City untuk menguji kemantapan dan keserasian pasukan sebelum ke India bagi menghadapi peringkat separuh akhir playoff antara zon bertemua ATK Mohun Bagan.

Pastinya aksi esok akan dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak. Sabah FC perlu menang untuk menekan JDT di tangga teratas liga manakala KL City mahu status sebagai juara Zon Asean tidak tercalar.