MOOD sebagai juara langsung tidak terjejas biarpun terpaksa mengharungi perjalanan pulang selama enam jam dari bandar Melaka ke Putrajaya.
Kejayaan membenam Melaka FC di Stadium Hang Tuah, semalam diraikan dengan penuh kegembiraan, sebelum perjalanan pulang pasukan Imigresen FC (IFC) yang dinobat sebagai juara Liga MBSB, mungkin agak terencat gara-gara bas pasukan tersangkut dalam kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan Plus, disebabkan kemalangan membabitkan sebuah treler.
Akibat kemalangan yang terjadi di kilometer (KM) 214.9 antara laluan Pedas Linggi ke Senawang, berlaku kesesakan sejauh 13 km kerana semua lorong ke arah utara terhalang.
Bagi ketua pasukan IFC, Mohd Nasriq Baharom, insiden terbabit tidak menjejaskan langsung keterujaan pemain biarpun terpaksa menunggu lama dalam bas.
“Lama kami dalam bas dan hanya tiba di Putrajaya kira-kira jam 2 pagi.
“Hanya 11 pemain pulang menaiki bas, kerana yang lain pulang sendiri, namun tiada seorang pun dalam kalangan kami yang bosan atau marah-marah kerana kesesakan, maklumlah hati sedang seronok sebab menang,” kata Nasriq.
Menurutnya, ada pemain yang hanya ke hulu, ke hilir berjalan dalam bas bagi menghilangkan kebosanan selain masing-masing melayan gajet sendiri, menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Mengulas mengenai kejuaraan liga yang dicapai pasukan, Nasriq berkata, segala usaha gigih mereka berbalas, terutamanya musim ini, IFC dibarisi majoriti pemain baharu.
“Kira-kira 18 pemain dalam pasukan adalah pemain muda dan baharum jadi kami agak struggle di awal musim, sukan untuk mendapatkan pasukan yang lebih tersusun di tahun pertama.
“Tetapi Alhamdulillah, usaha kami pemain, jurulatih dan pengurusan serta pengarah-pengarah berakhir dengan kejayaan.”