JUARA MiniGP Siri Dunia FIM 2023, Qabil Irfan Azlan, tetap mahu memberi cabaran dalam Kejuaraan Motorbike Sepanyol (ESBK) Moto4, bulan depan, meskipun berlumba dalam bulan puasa.
Menurut bapanya, Azlan Abd. Rahman, 48, meskipun tiada sasaran diletakkan di bahu Qabil, 12, beliau optimis anak keduanya itu mampu memberi saingan kepada pelumba lain yang lebih berpengalaman.
Azlan menjelaskan, dia dan Qabil akan berada di Sepanyol selama hampir sebulan untuk menyertai ESBK Moto4 itu dan hanya akan pulang ke Terengganu beberapa hari sebelum Aidilfitri.
“Kami akan menyambut Ramadan di bumi asing kali ini tetapi ini adalah antara pengorbanan yang perlu dilakukan jika mahu mengembangkan kariernya lebih jauh lagi dalam dunia permotoran.
“Qabil akan melakukan persediaan awal untuk menyesuaikan diri dengan jentera dan keadaan litar sebelum perlumbaan sebenar di Litar Jerez pada 6 dan 7 April depan,” katanya kepada Flash Sukan.
Jelas Azlan lagi, penyertaan Qabil dalam ESBK Moto4 dianggap pendedahan awal buat pelumba cilik itu yang hadir membawa reputaai juara MiniGP Siri Dunia FIM 2023 di Valencia.
“Pelumba atau pencabar dalam kategori itu lebih berpengalaman kerana mereka memiliki kelengkapan dari segi jentera dan litar yang sesuai untuk berlatih berbanding Qabil.
“Apa pun, ini masa sesuai untuk membuktikan kemampuan dan saya harap semua pihak mendoakan keselamatan serta kejayaan Qabil,” ujarnya lagi ketika ditemui baru-baru ini.
Pada perlumbaan di Litar Jerez itu nanti, Qabil akan beraksi untuk pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing dan dijadualkan menyertai ujian pra musim pada 16 dan 17 Mac.
Perlumbaan peringkat pertama akan berlangsung di litar sama pada 6 dan 7 April sebelum peringkat berikutnya pada 1 dan 2 Jun di Litar Valencia.