JUARA pusingan kelayakan negeri Pantai Timur bagi Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) bertekad untuk membawa pulang trofi cabaran Perodua semasa bertanding dalam perlawanan akhir acara pasukan kebangsaan tahun ini di Forest City Golf Resort, Johor dari 8 hingga 10 September.

Mohd Firdaus Ahmad selaku juara Kategori A dari Terengganu meluahkan keyakinan yang tinggi terhadap peluang pasukannya untuk memenangi acara pasukan pada perlawanan akhir, merujuk kepada barisan berpengalaman yang baru-baru ini memenangi pusingan kelayakan di Terengganu, yang diadakan di Kelab Golf Bukit Besi (KGBB).

Tambah lagi, setelah mewakili Malaysia dan muncul juara dalam acara pasukan di Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) di Kuala Lumpur pada 2022, Firdaus mudah mencatat 13 par dan lima bogey untuk menjadi juara dan layak ke peringkat akhir kebangsaan selama dua hari.

Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak dengan jelas turut mendedahkan, PNAGS adalah satu-satunya kejohanan golf di Malaysia yang menawarkan peluang kepada pemain golf amatur tempatan untuk mempamerkan bakat mereka dan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pemenang pusingan kelayakan negeri berhak mewakili negeri mereka di peringkat akhir kebangsaan PNAGS manakala lima juara kategori kebangsaan akan berpeluang mewakili negara di Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) bersama 400 pemain dari 40 negara di seluruh dunia,” ujar beliau.

Phuket, Thailand, akan menjadi tuan rumah final Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) yang dijadualkan berlangsung dari 25 Oktober hingga 2 November.

Difahamkan, tiga lokasi perlawanan akan melibatkan padang golf utama di Phuket, termasuk Laguna Golf Resort, Red Mountain, dan Blue Canyon.