TINDAKAN peminat bola sepak tempatan yang sering mempertikaikan keputusan pengadil kerana dikatakan sering memberikan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat perhatian pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail telah memuat naik hantaran di Insta story miliknya berkongsi statistik gol menerusi sepakan penalti dalam saingan Liga Super musim ini.
Daripada hantaran itu, statistik menunjukkan JDT hanya menjaringkan dua gol atau hanya 13 peratus menerusi penalti dari jumlah 15 gol yang dijaringkan setakat ini.
Juara penalti setakat ini adalah Negeri Sembilan FC yang menjaringkan empat gol penalti dari jumlah 11 gol atau 36 peratus manakala Sri Pahang FC kedua dengan tiga penalti juga dari 11 gol atau 27 peratus.
Pasukan Selangor FC meskipun baharu bermain lima perlawanan sudah berjaya memperolehi tiga gol menerusi penalti dari jumlah 12 jaringan mereka iaitu bersamaan 25 peratus.
Statistik itu juga jelas menunjukkan tiga pasukan tidak memperolehi atau menjaringkan gol menerusi penalti iaitu Petaling Jaya City FC, Melaka United United FC dan Kuala Lumpur City FC.