REGU negeri atau kelab yang menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, tidak mustahil diserap terus sebagai satu regu untuk menggalas cabaran negara di temasya Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China, September depan.

Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, kaedah itu mungkin diguna pakai bagi memastikan regu yang mewakili negara di temasya itu, cukup kuat dari segi persefahaman dan kesepakatan.

Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun tidak menolak pemilihan pemain ke Hangzhou, mengambilkira faktor regu yang menjuarai STL.

“Ya tidak mustahil menggunakan trio yang menang di STL, kita nampak ke arah itu kerana dapat dilihat persefahaman dan kesepakatan dalam sesebuah  regu itu sendiri amat ketara.

“Jika tidak ketiga-tiga pemain dikekalkan dalam regu sama, mungkin kita gunakan dua daripadanya dan mencari seorang lagi yang lebih baik dan berkualiti untuk digandingkan,” kata Ahmad Jais.

Ahmad Jais berkata, persiapan skuad sepak takraw kebangsaan ke Sukan Asia, kini berada dalam fasa pemilihan.

Sebagai ketua jurulatih, dia dan barisan kejurulatihan memantau perkembangan pemain di STL dan pemilihan terakhir akan dibuat pada Kejohanan Piala Raja Thai.

Berlangsungnya STL setiap minggu, menjejaskan kem latihan kebangsaan, namun saingan liga itu mampu mengekalkan tahap ketahanan pemain.

“Kalau diikutkan, persiapan kem latihan kebangsaan agak terjejas kerana STL sedang berlangsung setiap minggu. Namun ada kebaikannya STL ini adalah pemain dapat mengekalkan konsistensi dalam pertandingan, jadi pemain yang terlibat latihan kebangsaan kita lepaskan untuk menyertai pasukan masing-masing dalam STL, malah saya melihat graf pemain meningkat.”

Menurutnya, PSM perlu menghantar nama sebelum 15 Julai, dan Piala Raja Thai berlangsung 9 hingga 16 Julai menjadi medan terbaik untuk menilai tahap keserasian regu.

Saingan Piala Raja Thai, 9-16 Julai menjadi medan terakhir pemilihan pemain ke Sukan Asia Hangzhou.
PSM perlu menghantar senarai pemain selewat-lewatnya 15 Julai depan.

Jelasnya lagi, banyak kelemahan dikesan dalam skuad negara yang beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja Mei lalu: “Dari segi mental, endurance… kita juga sangat ketara kelemahan dari segi konsistensi, namun saya nampak perkara ini semakin diperbaiki menerusi penyertaan pemain di STL.

“Kita juga sedang berkerjasama erat dengan Institut Sukan Negara (ISN), mereka memberi sistem sokongan yang baik untuk membantu skuad takraw lelaki ke Sukan Asia.”