SEBELUM Sukan Olimpik Paris 2024 dibuka secara rasminya awal pagi tadi, judoka Iraq disahkan menjadi atlet pertama positif doping di temasya itu.

Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) dalam satu kenyataan semalam, melaporkan, judoka Iraq, Sajjad Ghanim Sehen positif menggunakan steroid anabolik Metandienone dan Bolfdenone selepas sampel yang diambil ketika kawalan anti-doping dilakukan di luar pertandingan, Selasa lalu.

“Atlet terbabit sudah dimaklumkan dan akan digantung serta merta sementara perkara itu diselesaikan mengikut Kod Anti-Doping Dunia dan Peraturan anti-Doping IOC yang terpakai untuk Sukan Olimpik Paris 2024,” kata ITA.

Sajjad Ghanim Sehen boleh meminta untuk ujian sampel B, namun tidak dibenarkan beraksi di Paris 2024.

Difahamkan, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyerahkan tanggungjawab anti-doping kepada ITA, yang bertanggungjawab menjalankan ujian sepanjang Temasya Paris.

Laporan agensi turut memetik, bahawa judoka terbabit boleh meminta ujian sampel B, namun tidak boleh mengikuti pertandingan di Paris 2024.

Sekiranya atlet Iraq itu masih didapati positif pada sampel B, dia bakal berdepan penggantungan hingga empat tahun.

Mengikut jadual, judoka Iraq itu akan berdepan Sharofiddin Boltaboev dari Uzbekistan, dalam kategori bawah 81 kilogram, pada Selasa. -Agensi