PASUKAN kebangsaan Jerman sudah mempunyai jurulatih baharu menggantikan Hansi Flick. Seperti yang telah dilaporkan secara meluas, Julian Nagelsmann adalah orangnya.

Flick dipecat selepas siri keputusan buruk Jerman sepanjang tahun lalu. Mereka hanya memenangi empat daripada 17 perlawanan terakhir mereka, termasuk dikalahkan Jepun 1-4 dalam perlawanan persahabatan bulan ini.

Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) sudah hilang sabar dengan Flick, kerana mereka juga gagal di Piala Dunia 2022 apabila tersingkir dalam fasa kumpulan.

Tidak lama kemudian DFB mendapat jurulatih baharu. Mereka segera melantik Nagelsmann sebagai pengganti Flick dengan kontrak sehingga Euro 2024.

“Kami akan menganjurkan Piala Eropah di negara kami. Ini sesuatu yang istimewa – kerana sudah tentu ia jarang berlaku. Saya fokus untuk membawa pasukan beraksi dengan baik di negara hebat ini.

“Saya benar-benar mahu menerima cabaran ini. Perlawanan di Dortmund adalah permulaan. Kami akan lebih mantap tahun depan,” kata Nagelsmann ketika dipetik 90min.

Kehadiran Nagelsmann bagaikan mengulangi kisah di Bayern Munich. Sebelum dipecat pada pertengahan musim lalu, Nagelsmann menggantikan Hansi Flick pada Julai 2021.

Nagelsmann bakal berdepan tugas sukar kerana dia perlu membawa Jerman menjadi juara Euro 2024. Perlawanan sulungnya ialah apabila Jerman menentang Amerika Syarikat pada 15 Oktober.