SUKAN Muay Thai semakin mencuri perhatian di Sarawak, dengan peminatnya yang kian bertambah dan sokongan berterusan dari pelbagai pihak. Persatuan Muay Thai Sarawak kini giat mencorak langkah besar, bukan sahaja demi kejayaan di arena negeri tetapi juga bagi menonjolkan bakat anak Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Dalam temu ramah eksklusif bersama Flash Sukan di Kejohanan MOVE-ON MuayThai Selangor Open Challenge, Presiden Persatuan Muay Thai Sarawak, Jumaat Ibrahim, mendedahkan perkembangan pesat sukan ini serta visinya untuk masa depan, menjadikan Sarawak sebagai hab Muay Thai yang disegani.

“Untuk sukan Muay Thai, ini adalah satu permainan yang baru di Sarawak. Dalam 15 tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat peningkatan minat orang Sarawak terhadap sukan ini.

“Melalui sokongan media, anak-anak Sarawak kini bukan sahaja mewakili negeri tetapi juga negara, dan ini satu kebanggaan untuk Persatuan Muay Thai Sarawak,” kongsinya.

Presiden Persatuan Muay Thai Sarawak, Jumaat Ibrahim

Menurut Jumaat, Kerajaan Negeri turut memainkan peranan penting dalam kemajuan sukan ini.

“Kami bersyukur atas sokongan kerajaan negeri Sarawak yang tidak putus-putus memberi dorongan untuk anak-anak Sarawak maju dalam sukan Muay Thai. Hasilnya, dalam Sukma yang lepas, kita berjaya menjuarai keseluruhan kategori Muay Thai,” tambah beliau lagi.

Namun, dalam mengembangkan sukan ini, terdapat cabaran besar dari segi mencari jurulatih berpengalaman untuk mendidik bakat-bakat muda di Sarawak.

“Cabaran utama kita adalah memerlukan orang-orang yang berpengalaman untuk mencungkil bakat di Sarawak,” jelas Jumaat.

Beliau turut menyentuh persepsi yang sering dianggap negatif terhadap sukan ini.

“Di mata rakyat, sukan Muay Thai ini dianggap kasar dan orang takut, tetapi setelah dipromosikan, mereka akan sedar bahawa sukan ini mempunyai disiplin yang sangat tinggi,” katanya, sambil menambah bahawa sukan ini bukan sahaja mengajar kemahiran bertarung, tetapi juga membentuk nilai persahabatan di luar gelanggang.

SUKMA 2024 Negeri Sarawak berjaya menjuarai keseluruhan kategori Muay Thai.

Jumaat juga menambah bahawa, Persatuan Muay Thai Sarawak juga komited dalam melatih bakat-bakat baru untuk mengukuhkan barisan atlet masa depan.

“Sejak persatuan ditubuhkan, kami sentiasa mempunyai perancangan untuk melatih anak-anak Sarawak agar mereka boleh menjadi pelapis masa hadapan,” ujar Jumaat.

Menjelang Sukma 2026 di Selangor dan Sukan SEA 2027 di Malaysia, Jumaat melihat persiapan awal sebagai kunci untuk membawa Sarawak ke peringkat lebih tinggi.

“Dalam lima tahun akan datang, kami berharap anak-anak Sarawak bukan sahaja akan mewakili negeri tetapi juga negara dalam arena Muay Thai,” katanya dengan optimis.

Dengan kesungguhan persatuan, sokongan masyarakat, dan komitmen berterusan dari pihak kerajaan, Muay Thai di Sarawak kini berada pada landasan yang tepat untuk mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.