KEJOHANAN Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 mencuri  tumpuan minggu ini berikutan impak besar susulan penganjuran  sukan warisan itu di Alor Setar, Kedah buat julung kalinya diadakan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM56,000.

Terbukti usaha murni Pesaka Kedah dengan kerjasama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia ini menjadi penyumbang utama bakat muda silat menjelang sukan Malaysia (Sukma) 2026 selain menjadi platform terbaik untuk mencari bakat muda cilik untuk diketengahkan.

Penaung Pesaka Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata, penganjuran kali pertama ini menyaksikan bakat cilik seawal usia 5 dan 6 tahun turun beraksi.

“Selain pembabitan peserta daripada negara rantau Asean, tahun hadapan jangkaan lebih tinggi perlu diletakkan dengan skala lebih besar.

“Misi untuk membawa pesilat Eropah hadir memeriahkan kejohanan Terbuka Malaysia dan Jemputan Antarabangsa buat edisi kedua,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Malah Zuraidi memberitahu bahawa misi kejohanan ini berjaya dengan hasilnya.

“Kita jumpa bakat baharu yang versatil. Maknanya transformasi boleh dilakukan dalam dunia silat khususnya di Negeri Kedah, untuk dibawa ke peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.”