TIDAK sempat masuk ke undian utama kejohanan Malaysia Masters, Leong Jun Hao mahu bangkit dengan menyasarkan sekurang-kurangnya satu gelaran tahun ini, bagi memastikan namanya kekal dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Mungkin sebab baru balik dari Kemboja, kejohanan berturut-turut, hanya berlatih selama dua tiga hari dan mungkin masih belum pulih sepenuhnya tetapi ini lumrah kejohanan, saya perlu lebih bersedia.
“Kalau boleh saya cuba nak tingkatkan lagi prestasi saya, memang rasa kecewa sebab kadang-kadang dalam perlawanan, saya rasakan bermain dengan bagus tetapi belum dapat kemenangan, masih belum konsisten,” katanya.
Terdahulu, bekas juara remaja dunia itu tersingkir awal dari Malaysia Masters selepas tumbang di tangan pemain Taiwan, Chi Yu Jen dengan keputusan 22-20, 19-21, 11-21 di pusingan kelayakan.
Jun Hao berpeluang menebus kekecewaannya apabila dijangka bersaing di Terbuka Thailand minggu hadapan. Dia dijadualkan menentang Meiraba Luwang Maisnam.
“Dari segi latihan, memang ada perbezaan antara program yang disediakan untuk saya dan dia (Tze Yong), kerana program yang disediakan jurulatih adalah berdasarkan kekurangan dan kelemahan yang kami perlu perbaiki,” kata Jun Hao.
Jun Hao, 24, kini menghuni ranking ke-63 dunia, manakala Tze Yong, 23, berada di tangga ke-21.