TIDAK mudah untuk mengekalkan tahap prestasi terbaik sebagai pemain profesional, namun Cheam June Wei nekad terus berjuang demi kerjaya badmintonnya.
Pemain perseorangan lelaki itu berkata, dia mahu menempatkan dirinya pada kedudukan ranking terbaik, dan bersedia mewakili negara dalam acara berpasukan sekiranya khidmat diperlukan.
“Saya masih mahu buktikan kemampuan dalam setiap kejohanan tapi saya tahu, tak mungkin dapat berada di tahap terbaik sepanjang masa… tetapi saya berharap jika BAM (Persatuan Badminton Malaysia) memanggil saya perkuat skuad kebangsaan, saya tidak jauh dari tahap yang mereka mahukan,” kata June Wei.
Pemain yang kini berada di ranking ke-58 dunia itu, tersingkir dari Kejohanan Super 100 Malaysia selepas tunduk 21-14, 16-21, 18-21 kepada Huang Yu Kai dari Taiwan.
“Sememangnya saya kecewa kerana sasarkan sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
“Tapi saya juga berdepan masalah kecederaan tulang belakang (bawah) yang dialami sejak Julai lalu,” ujarnya.
June Wei diberi peluang menjalani latihan bersama pemain BAM berharap mampu sekurang-kurangnya ke satu final daripada tiga lagi kejohanan yang akan disertainya.
Kegagalan June Wei itu ditebus pemain BAM, Justin Hoh yang melangkah ke suku akhir.
Justin diberi tentangan sengit oleh pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito sebelum menang 21-19, 17-21, 21-12.
Di suku akhir esok, pemain berusia 20 tahun itu akan berdepan pikihan utama kejohanan, Chi Yu Jen dari Taiwan.
Sementara itu, juara remaja dunia Aaron Tai-Kang Khai Xing ditunjuk jalan keluar dsri kejohanan selepas akur kepada kehebatan gandingan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Ye Hong Wei 16-21, 19-21.