PEMAIN bek berpengalaman Harimau Malaya, Junior Eldstal menyifatkan peluang kembali menyarung jersi kebangsaan selepas mengumumkan persaraan tidak akan dilepaskan begitu sahaja.
Ujar pemain kelab Dewa United FC itu, kepercayaan diberikan Kim Pan-gon dengan menyenaraikan namanya ke temasya Piala Asia 2023 di Qatar akan dibuktikan atas padang.
“Saya punya impian adalah untuk bermain dengan negara lagi dan saya dapat peluang ini. Coach Kim Pan-gon pun memberikan saya kepercayaan dan dia tahu menggunakan saya.
“KPG beritahu lagi, nikmatilah peluang bermain untuk Malaysia dan setiap pemain membawa nama negara,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di hotel penginapan pemain di Doha, Qatar pada Jumaat.
Tonggak kental di bahagian pertahanan yang mengutip 20 kaps sepanjang penampilan di pentas skuad kebangsaan mahu meninggalkan sesuatu yang berharga buat tatapan penyokong Malaysia pada edisi ke-18 kali ini.
“Kita datang sini untuk bertanding. Jadi kita perlu meninggalkan sesuatu dalam skuad di mana kita boleh melakukan sesuatu yang istimewa, iaitu untuk kekal fokus.
“Kami bermain untuk negara dan menikmatinya serta percaya pada diri sendiri kerana anda tahu, kita mendapat pasukan yang bagus. Kita harus bersaing dan bukan hanya sekadar mengambil bahagian.
“Semoga kami dapat menjadikan Malaysia bangga,” katanya teruja bermain dan berlatih di padang latihan bertaraf dunia dan pernah digunakan Lionel Messi dan skuad Argentina.
Junior Eldstal turut merakam kata-kata positif buat peminat dan ekor Harimau Malaya yang sudah tiba di Doha bagi sama membakar api perjuangan mereka mengharungi tiga aksi getir Kumpulan E.
“Terima kasih banyak penyokong yang boleh datang bersama-sama dan berada di sini bersama kami. Anda tahu, ia adalah pengalaman yang besar untuk kita semua, satu negara dan, ia bagus supaya kita nikmati semuanya bersama-sama,” katanya.