PENGENDALI Persib Bandung, Bojan Hodak mengakui dia kagum melihat perkembangan yang berlaku di Liga Indonesia ketika ini dan ianya semakin menghampiri kualiti yang ada pada Liga Malaysia.
Pelatih Croatia itu sebelum ini pernah membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Liga Super buat kali pertama sebelum mengemudi Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia pada 2021 serta bergelar naib juara Piala AFC pada tahun 2022.
Kini menabur bakti di Bandung, Bojan membuktikan dia adalah jurulatih pemenang piala apabila membawa Persib menjuarai Liga 1 Indonesia musim lalu sekaligus dapat layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25.
Dalam pertemuan bersama FLASH SUKAN di Singapura baru-baru ini, Bojan mengakui jurang kualiti antara Liga Malaysia dan Liga Indonesia semakin mengecil atas beberapa faktor yang padanya perlu dipelajari oleh kelab-kelab dalam di Malaysia.
“Sepuluh tahun lalu sememangnya terdapat jurang yang sangat besar terutama dari segi kualiti antara kedua-dua liga namun kini Liga Indonesia semakin meningkat kerana penglibatan banyak badan-badan korporat sebagai penaja.
“Semasa saya di PSM Makassar pada 2020, jurang kualiti itu masih ada tetapi kini dengan adanya aliran kewangan yang positif, banyak perkara terutama dari segi kemudahan moden dapat dibangunkan sekaligus meningkatkan mutu dan kualiti para pemain.
“Duit sememangnya berjaya mengubah lanskap sesuatu liga dan sehingga kini di Malaysia, hanya JDT dan Selangor sahaja yang mempunyai kekuatan kewangan manakala kelab-kelab lain masih bergelut dan dapat dilihat apa yang terjadi kepada Kedah, Kuala Lumpur City dan banyak lagi pasukan.
“Namun begitu, pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) memberikan keutamaan kepada kelab yang beraksi di Asia dengan memberikan jadual yang lebih longgar dan ini membantu kelab-kelab ini memberikan aksi terbaik di berbanding apa yang berlaku di Indonesia,” katanya di Pusat Latihan Lion City Sailors.
Bojan turut mengakui dia gembira kini di Indonesia dan tidak terfikir untuk kembali ke Malaysia setakat ini namun tidak menolak kemungkinan sekiranya kelab yang mahukan khidmatnya tidak menganggu tugasannya dan barisan kejurulatihan.
“Setakat ini saya gembira di Bandung dan Indonesia walaupun dari segi logistik dan perjalanan ke tempat lawan sedikit sukar dan memenatkan namun saya mempunyai kontrak bersama Persib sehingga 2026 tetapi selepas itu saya bebas memilih mana-mana pasukan yang percaya sepenuhnya tugas saya sebagai ketua jurulatih,” jelasnya.
Persib Bandung kini ditangga ketiga Liga 1 Indonesia dengan 20 mata selepas 10 perlawanan dan di tangga ketiga Kumpulan F Liga Juara-Juara AFC 2 selepas empat perlawanan dan Bojan optimis barisan pemainnya mampu memberika kejutan dalam kedua-dua kejohanan yang disertai.