SELEPAS hampir seminggu berehat dari kejohanan, pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tampil dengan semangat baharu menjelang saingan Terbuka Singapura yang bermula, Selasa ini.

Selepas mencapai prestasi terbaik muncul naib juara Malaysia Masters, minggu lalu, gandingan negara itu mahu mengekalkan momentum untuk terus menghasilkan keputusan positif di Singapura.

Bagi Kai Wun, pencapaian di Malaysia Masters membuka mata mereka betapa jurang antara mereka dengan pasangan kelompok 10 terbaik dunia tidak jauh berbeza.

“Kalau lihat ketika ini, kami memang ada standard dan tengok ia tidak jauh. Malah ketika lawan pemain-pemain yang berada di ranking 10 terbaik juga kami boleh menang.

“Apa yang penting kami tidak boleh terlalu sombong dan perlu jaga kondisi kami ketika setiap kali turun beraksi,” kata Kai Wun.

Wei Chong-Kai Wun mencuri tumpuan pada saingan Malaysia Masters apabila menumbangkan juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan selain Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) dan Leo Rolly Carnando (Indonesia) dalam laluan mereka ke final.

Artikel Berkaitan:

Man-Tee nekad buru slot Olimpik Paris 2024

Wei Chong-Kai Wun naib juara beregu lelaki, “Kami akan berlatih lebih gigih lagi”

Di Singapura, pasangan negara itu akan membuka tirai kempen menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan itu tidak pernah bertemu sebelum ini dengan masing-masing berada di kedudukan ranking ke-22 dan 21 dunia.