PEMAIN Jepun Wataru Endo berharap untuk ‘memusnahkan’ harapan pengurus kelab Liverpool Jurgen Klopp dengan beraksi lebih lama di Piala Asia AFC Qatar 2023.

Malah Endo juga berazam membawa Jepun meraih kejuaraan kelima Asia.

Klopp menyatakan hasratnya untuk membawa Samurai Blue keluar dari saingan seawal mungkin supaya Endo akan kembali membantu kelab Anfield untuk memburu kejuaraan Liga Perdana.

Endo menghormati komen bekas pemain Jerman terbabit, namun berazam untuk membimbing Jepun merangkul kejuaraan buat kali pertama sejak 2011, ketika kali terakhir Piala Asia AFC diadakan di Qatar.

Endo bersama pengurus kelab Liverpool, Jurgen Kloop.

“Jurgen bergurau, tetapi saya berasa berbesar hati kerana dia merasakan saya perlu kembali ke Liverpool, ianya penting bagi saya,” kata Endo menjelang aksi pembukaan Kumpulan D Jepun menentang Vietnam di Stadium Al Thumama.

“Saya di sini sebagai kapten pasukan dan apa yang saya fikirkan adalah untuk memenangi trofi dan membawa pulang pingat ke Liverpool.”


Endo menjadi permata pasukan Jepun yang berada dalam prestasi terbaik sejak enam bulan lalu, dengan pasukan Hajime Moriyasu tidak tewas sejak Mac dan menjadi antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Asia AFC Qatar 2023.

Pemain berusia 30 tahun itu telah membuktikan dirinya sebagai nadi pasukan Jepun dan berhasrat untuk memimpin sepanjang kejohanan sambil memberi kegembiran kepada mereka yang terjejas oleh gempa bumi di Semenanjung Noto Jepun pada Hari Tahun Baru.

“Sebagai kapten, saya sedang merancang bagaimana  memenangi kejohanan ini.

“Baru-baru ini kami melalui insiden tragis pada Hari Tahun Baru, jadi kami ingin menceriakan mereka yang menderita dengan persembahan kami.”

Vietnam bermain sebagai pasukan bukan pilihan  walaupun dengan kehadiran Philippe Troussier, sebagai Ketua jurulatih mereka.

Bagaimanapun kapten Do Hung Dung menegaskan Golden Star Warriors tidak akan terlalu kagum dengan lawan mereka.