KETUA jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann kelihatan di Stadium Sultan Ibrahim dan sama-sama menjadi saksi kemenangan Johor Darul Ta’zim ke atas Ulsan Hyundai dalam aksi Liga Juara-Juara AFC pada Selasa.
Klinsmann yang juga legenda Jerman turut memantau aksi pemain-pemain Harimau Malaya yang bakal menjadi lawan Korea Selatan di Piala Asia Qatar selepas diundi dalam kumpulan yang sama.
Kehadiran pemenang Kejohanan Eropah 1996 itu ke Iskandar Puteri turut dialu-alukan JDT – kelab yang sememangnya tidak asing dikunjungi bintang-bintang legenda dunia bola sepak sejak ditubuhkan pada 2013.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalu-alukan kehadiran pemain legenda Jerman, Jurgen Klinsmann ke Stadium Sultan Ibrahim.
“Klinsmann yang kini adalah ketua jurulatih Republik Korea menghadiri perlawanan Liga Juara-Juara AFC yang menyaksikan Harimau Selatan menewaskan Ulsan Hyundai malam tadi,” tulis kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab.
Jurulatih berbangsa Jerman itu mendapat kecaman daripada penyokong Korea Selatan kerana dilihat seakan-akan tidak serius dalam mengemudi pasukan apabila dia menjadikan Amerika Syarikat sebagai pusatnya dan tidak berada di Korea Selatan untuk memantau keadaan dan prestasi para pemain.
Sumber Flash Sukan juga mendapat informasi bahawa Klinsmann akan terus ke Singapura untuk menyaksikan satu lagi aksi kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors menentang Lion City Sailors sebelum menyediakan pasukan menentang Singapura dan China untuk aksi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.
Semoga kehadiran Klinsmann dapat membuka matanya kepada bakat-bakat pemain negara selepas aksi mantap yang ditunjukkan JDT ketika membenam juara Korea Selatan itu menerusi jaringan Heberty Fernandes dan Akhyar Rashid.