KETUA jurulatih kebangsaan Korea Selatan, Jurgen Klinsmann tidak terkejut malah menjangkakan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Ulsan Hyundai dalam aksi Liga Juara-Juara AFC atas faktor sikap pemain dan kekuatan penyokong Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.

Klinsmann hadir ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memantau aksi pemain kebangsaan Korea Selatan yang bermain dengan Ulsan Hyundai dan dia juga membuat tinjauan mengenai skuad Harimau Malaya — lawan yang akan ditentang di Piala Asia Qatar pada Januari yang dibarisi majoriti pemain JDT.

Legenda Jerman itu menjawab soalan yang diutarakan FLASH SUKAN kepadanya menerusi media Korea Selatan di Singapura juga turut memuji keadaan Stadium Sultan Ibrahim yang menurutnya cukup mengagumkan.

“Kemenangan JDT keatas Ulsan tidak memeranjat kerana kami sudah melihat permainan mereka menerusi laman web pencarian bakat. Kami saksikan semua perlawanan mereka tetapi ianya berbeza apabila anda melihat sendiri aksi mereka di stadium.

“Anda lihat stadium mereka? Ianya cukup mengagumkan. Di situ kami boleh lihat sendiri tempo permainan dan merasai kekuatan para penyokong. Kami juga dapat merasakan bagaimana pemain bertindak dalam pelbagai cara.

“Perkara ini cukup membantu untuk membuatkan kami faham pada tahap mana mereka mampu berada dan mereka boleh berada pada tahap terbaik mereka pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Kejayaan JDT menumbangkan Ulsan Hyundai dua kali pada Liga Juara-Juara AFC musim lalu membuka mata jurulatih dan pemerhati bola sepak Korea Selatan yang kini tidak boleh memandang rendah kualiti permainan bola sepak Asia Tenggara.

Klinsmann juga menjadi saksi satu lagi kejutan kelab dari Asia Tenggara apabila wakil Singapura, Lion City Sailors mengejutkan Jeonbuk Hyundai Motors 2-0 dalam aksi Kumpulan F di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Rabu.