BARISAN kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) akan berbincang dari masa ke masa untuk membantu Goh Jin Wei beraksi di Sukan Olimpik 2024.

Pengarah Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai berkata, tidak timbul isu lagi berkaitan Jin Wei kerana perbincangan telah dilakukan sejak minggu lalu lagi.

“Sudah tentu akan bantu Jin Wei, bagaimanapun pengarah kejurulatihan Rexy (Mainaky) akan berbincang dengan barisan jurulatih kami siapa akan membantu.

Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai mengesahkan barisan kejurulatihan ABM akan membantu Goh Jin Wei di Temasya Paris 2024.

“Secara teknikal, dia (Rexy) akan berbincang dengan Jin Wei juga bentuk bantuan yang diperlukan,” kata Michelle sambil mengesahkan perkembangan terkini mengenai perkara itu, akan dibincangkan barisan kejurulatihan ABM dalam masa terdekat.

Menurutnya, Jin Wei sendiri sudah hadir ke BAM dan berbincang dengan jurulatih ABM minggu lalu: “Kita sudah sampaikan perkara ini kepada Jin Wei jadi not an issue.”

Katanya, jadual pertandingan badminton di Temasya Paris juga menyaksikan tiada pertembungan jadual apabila acara perseorangan lelaki dan wanita tidak berjalan serentak dengan acara beregu.

Goh Jin Wei terpaksa akur, jurulatihnya Nova Armada tidak mendapat akreditasi untuk mengiringinya ke Olimpik Paris.

Tambah Michelle, skuad badminton negara diberikan lima kad akreditasi untuk lima jurulatih ke Sukan Olimpik Paris 2024, dan mengakui sedang berbincang lanjut dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mendapatkan beberapa lagi kad.

“Jurulatih yang mendapat akreditasi adalah Rexy, Tan Bin Shen, Nova Widianto, Hoon Thien How dan Wong Tat Meng,” kata Michelle.

Katanya, jurulatih ABM bukan hanya akan membantu Jin Wei di kerusi belakang gelanggang malah untuk menganalisa perlawanan bersama pasukan analisa dari Institut Sukan Negara (ISN).

Minggu lalu, Jin Wei menyuarakan kegusaran untuk beraksi di Sukan Olimpik pertamanya di Paris, apabila jurulatih, Nova Armada tidak diberikan akreditasi ke Olimpik, sebaliknya menerima akreditasi ke Paralimpik bagi membantu Cheah Like How mempertahan emas yang dimenangi di Tokyo tiga tahun lalu.