SELEPAS melihat penembak lelaki, Johnathan Wong muncul atlet pertama negara meninggalkan perkampungan sukan di Temasya Paris 2024, jurulatihnya Firdaus Abdul Rahim hanya mampu mengungkapkan bahawa nasib tidak menyebelahi penembak berpengalaman negara itu.
Pada Sabtu, Jonathan gagal ke final acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris apabila terkandas di pusingan kelayakan dan beliau tidak menjangka prestasi bidikan anak didiknya sedemikian.
Dia mengakui bidikan 570 mata yang dilakukan itu, satu pencapaian yang tidak memuaskan jika dibandingkan dengan persiapan akhir dan empat hari latihan menjelang pertandingan.
“Bukan hanya dia (Jonathan), saya juga terkilan kerana jika Johanathan mencapai prestasi seperti biasa, dia mungkin sudah layak ke final memandangkan sasaran negara yang kuat seperti China dan India juga sudah kecundang.
“Pungutan mata diperoleh Johanathan itu tidak jauh dari Top 8, tetapi nasib tidak menyebelahi dan dia telah melakukan yang terbai tetapi mungkin ada perkara yang kami terlepas pandang,” kata Firdaus kepada Flash Sukan.
Ujarnya, sepanjang menjalani latihan akhir di Paris, dia tidak melihat sebarang simptom yang menunjukkan Johnathan tidak dapat menembak dengan baik.
“Apapun, Jonathan sudah melakukan sebagaimana yang diminta.”
Beraksi di Lapang Sasar Chateauroux, Johnathan, 31, sekadar menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke-26 daripada 33 peserta dengan catatan 570 mata.
Hanya lapan peserta terbaik layak ke pentas final yang dijadual berlangsung, hari ini.
Aksi pusingan kelayakan semalam diungguli penembak Serbia, Damir Mikec yang mencatat 584 mata diikuti Federico Nilo Maldini dari Itali dengan 581 mata di tempat kedua manakala atlet Jerman, Christian Reitz ketiga (580 mata).
Kegagalan itu menyaksikan Johnathan gagal memperbaiki pencapaianya pada penampilan pertama di Olimpik Rio 2016 apabila dia turut terkandas di pusingan kelayakan.
Ketika itu dia menamatkan saingan di tempat ke-28 dengan catatan 574 mata.