PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil diberikan kebebasan untuk memilih siapa bakal menjadi pembantu jurulatihnya mengikut kriteria yang telah ditetapkan bagi memikul tugas berat menjelang kempen Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024-25.
Selangor yang masih tidak mempunyai penolong jurulatih selepas Ramon Marcote tidak disambung kontraknya dan Nidzam dinaikkan pangkat kini sedang mengenalpasti dua atau tiga pegawai baharu yang bakal membarisi barisan kejurulatihan.
Dikhabarkan seorang jurulatih berbangsa Australia yang pernah bermain bersama Nidzam Jamil adalah antara nama-nama yang sedang diteliti untuk mengisi kekosongan tersebut dan ianya disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.
“Nidzam dan pasukannya giat mencari dan meneliti resume jurulatih-jurulatih untuk menjadi pembantunya kerana kita memberikan mandat penuh kepadanya untuk memilih calon pembantunya.
“Tahun ini adalah tahun yang besar dan dia ingin dapatkan bantuan terbaik kerana setakat ini kita tidak mempunyai kekosongan dan dia diberikan kebebasan untuk membawa masuk pembantu yang mampu memperkuatkan barisan kejurulatihan Selangor FC.
“Calon yang telah diteliti adalah seorang penolong jurulatih dari luar negara dan dia pernah menjadi pemain di Malaysia sebelum ini bersama-sama Nidzam dan dia adalah jurulatih yang baik berasal dari Australia,” katanya ketika ditemui di Majlis Iftar For All 2024 anjuran Selangor FC di Shah Alam.
Johan juga menyatakan setakat ini dia berpuas hati dengan barisan pemain sedia ada namun tidak menolak kemungkinan sekiranya perlu mengambil beberapa orang pemain lagi sebelum jendela perpindahan ditutup pada 3 Mei 2024.
“Buat masa ini kita berpuas hati dengan apa yang kita ada tetapi kalau ada penambahan kita akan umumkan dalam satu dua minggu lagi namun buat masa sekarang kami berpuas hati dengan barisan pemain yang ada,” jelasnya.