KETUA Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengakui pengurusan pasukan sudah menyenarai pendek empat calon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Gergasi Merah.

Namun begitu, Johan menjelaskan keempat-empat calon ini sudah dimaklumkan yang mereka perlu menerima senarai pemain yang sedia ada kerana pasukan sudah di fasa akhir persiapan menjelang musim baharu.

Beliau juga turut menjelaskan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Mano Polking bukanlah salah seorang dari empat calon jurulatih itu meskipun sudah menerima resume jurulatih kelahiran Brazil itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon

“Setakat ini proses pemilihan berjalan lancar dan kita akan umumkan calonnya dalam masa seminggu. Mano Polking bukanlah salah seorang calon. Kami ada menerima resumenya tetapi dia bukan yang disenarai pendek.

“Pihak kami menyenarai pendekkan empat jurulatih dengan tiga jurulatih import yang mempunyai pengalaman dalam bola sepak Asia dan seorang pengendali tempatan.

“Ianya akan menjadi satu cabaran buat jurulatih baharu ini untuk bekerja dengan pemain yang sudah dipilih dan kami telah memberitahu perkara ini ketika sesi temuduga.

Selangor dan Aeon Big lanjut kerjasama untuk musim 2024-25

“Kita tahu ini bukanlah perkara yang mudah untuk mana-mana jurulatih terima namum keempat-empat jurulatih yang ditemuduga itu bersetuju dengan cabaran ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Menandatangani Lanjutan Penajaan antara Selangor FC dan Aeon Big di Wangsa Maju.

Johan juga turut menjelaskan bahawa jurulatih baharu itu nanti hanya boleh melakukan penambahbaikan dalam skuad ketika jendela perpindahan kedua yang dibuka dari 26 Ogos hingga 22 September 2024.

“Keempat-empat calon ini juga perlu menerima pemain yang sedia ada dan jika ada penambahan pemain mereka hanya boleh lakukan pada jendela perpindahan kedua nanti kerana kita yakin dengan struktur pasukan yang ada,” jelasnya.

Selangor FC dalam misi mencari jurulatih berkaliber yang mampu membawa Gergasi Merah mencabar kejuaraan liga dan memberikan saingan dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang kembali disertai selepas lapan tahun.