KETUA jurulatih skuad futsal kebangsaan yang baharu akan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar berbanding jurulatih sebelum ini apabila dia akan turut terlibat dalam pembangunan sukan itu di negara ini.
Tiga jurulatih dari luar negara sudah disenarai pendekkan setakat ini bagi menggalas tugas mengembalikan semula sinar buat skuad futsal negara yang kurang menyerlah kebelakangan ini di peringkat antarabangsa.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut mahu menyaksikan kebangkitan skuad futsal dengan pemilihan jurulatih yang berpengalaman.
“Sebagai Presiden FAM, tugas saya bukan hanya tertumpu kepada skuad bola sepak lelaki kebangsaan sahaja sebaliknya lebih menyeluruh kepada semua cabang bola sepak termasuk futsal.
“Setakat ini untuk skuad futsal kebangsaan, FAM sudah menapis tiga orang dari Sepanyol, Iran dan Thailand yang mempunyai pengalaman luas selain terlibat dalam pembangunan sukan ini.
Jurulatih baharu ini apabila dilantik, dia bukan sahaja akan menjadi ketua jurulatih tetapi juga akan terlibat dengan pembangunan futsal di dalam negara seperti yang kita lakukan kepada jurulatih bola sepak wanita sebelum ini.
“Antara tugasan awal yang bakal digalas ketua jurulatih ini adalah memantau bakat-bakat baharu futsal menerusi Liga Premier Futsal Kebangsaan yang bakal bermula pada 18 Februari 2023 ini,” katanya.
Jawapan yang diberikan Hamidin ini dilihat menjawab persoalan mengenai kedudukan ketua jurulatih sebelum ini, Chiew Chun Yong yang sudah pasti tidak dikekalkan selepas aksi mengecewakan ketika Sukan Sea Vietnam pada 2022.