JURULATIH berbasikal bukit yang berdepan dakwaan gangguan seksual terhadap atlet wanita di bawah kendaliannya, mengaku tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.
Perkembangan terkini kes itu, dikongsi Pengurus Pasukan Berbasikal Bukit (MTB) kebangsaan, Mohd Saiful Abdul Jalil.
“Setiap hari saya berhubung dengan kedua-dua pihak, baik mangsa dan juga yang didakwa melakukan gangguan seksual.
“Sudah tentu yang didakwa menafikan perbuatannya, tapi saya tidak boleh kongsi perbualan penuh kami kerana saya tidak mahu kenyataan yang saya keluarkan akan mengganggu siasatan,” kata Mohd Saiful.
Bagaimanapun, katanya jurulatih terbabit tenang sahaja dan tidak beremosi ketika berbual dengannya.
Menurutnya, tidak banyak perkembangan mengenai dakwaan gangguan seksual jurulatih terhadap atlet itu dapat dikongsinya kerana polis sudah mula melakukan siasatan.
Begitupun, Mohd Saiful enggan mengesahkan sama ada jurulatih yang digantung tugas dari mengendalikan skuad kebangsaan itu sudah dipanggil polis atau sebaliknya.
Pada 31 Mac lalu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan seorang jurulatih berbasikal digantung tugas serta merta selepas seorang atlet berbasikal bukit wanita, membuat laporan polis mengenai gangguan diterimanya.