PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pengunduran jurulatih beregu campuran, Paulus Firman, berkuat kuasa 1 Mei 2022.
Jurulatih berusia 53 tahun itu membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya kerana ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan BAM pada Jumaat, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Paulus atas sumbangannya kepada beregu campuran dan beregu lelaki sejak berada di Malaysia pada 2018.
Sementara itu, Rexy Mainaky, Pengarah Kejurulatihan (beregu), dipetik berkata:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Paulus atas peranan pentingnya dalam beregu campuran dan beregu lelaki.
“Paulus menyatakan dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di Indonesia.
“Kami mengenal pasti calon yang akan dapat membina momentum dan kerja baik yang ditetapkan oleh Paulus.”
Ini pula reaksi Paulus Firman : “Selepas membuat pertimbangan yang teliti, saya memutuskan untuk tidak menerima pembaharuan kontrak.
“Bagi saya, keluarga harus menjadi perkara yang paling penting. Saya bersyukur kerana berpeluang berkhidmat dengan BAM sejak empat tahun lalu.”