JURULATIH Brunei, Rosanan Samak menerima apa jua keputusan dan berjaya mengenalpasti kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan pemain Brunei bertaraf antarabangsa.
Meskipun tewas 0-4 kepada Malaysia, dia berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh barisannya walaupun sudah setahun tidak mempunyai perlawanan kompetitif akibat kekangan Covid-19 di Brunei.
Rosanan juga mengakui bahawa tugasnya sebagai jurulatih adalah sementara sahaja sebelum Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD) melantik ketua jurulatih yang baharu kelak.
“Kami menerima apa sahaja keputusan perlawanan ini asalkan kami tahu apa kelemahan pasukan kami terutama kecergasan pemain kerana kami sudah setahun tidak beraksi akibat Covid-19.
“Saya tidak menyuruh mereka menyerang kerana Malaysia sudah lama bermain dan saya berbangga dengan apa yang ditunjukkan anak buah dan saya bilang kepada pemain bahawa semuanya baik walaupun tewas 4-0.
“Kami juga turun tanpa barisan terbaik kerana kapten pasukan kami yang beraksi di Laos tidak dapat hadir kerana dijangkiti Covid-19 pada saat akhir ditambah empat lagi pemain terbaik kami tidak dapat bersama-sama pasukan.
“Buat sementara waktu ini saya ditugaskan untuk mengambil alih pasukan kebangsaan oleh persatuan. Sudah lama pasukan tidak bersama dan tugas saya adalah untuk mengumpul pemain agar jurulatih yang mengambil alih boleh nanti membuat perancangannya sendiri.
Sementara itu Rosanan mengelak memberikan komen mengenai pemain Malaysia kerana dia hanya fokus kepada skuadnya sahaja.
Skuad Brunei selepas ini akan berlepas ke Arab Saudi untuk kem latihan selama tiga minggu bermula 28 Mei hingga 14 Jun.