KETUA Jurulatih Skuad Futsal Lelaki Kebangsaan akan diperkenalkan pada bulan Ogos 2023 bagi menghadapi saingan kelayakan Kejohanan Futsal Piala Asia 2024 yang berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2023.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut mengatakan ketua jurulatih baharu itu sudah pun berada di Malaysia dan memantau perjalanan Liga Premier Futsal Kebangsaan bagi mengenalpasti pemain yang akan dibawa ke pusingan kelayakan itu.

Pada Februari lalu Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa bekas ketua jurulatih, Chiew Chun Yong sudah tidak lagi mengendalikan pasukan futsal kebangsaan dan tempatnya akan digantikan oleh seorang jurulatih dari luar negara.

“Kita akan umumkan pada awal bulan Ogos. Dia dah ada sini dan akan diumumkan selepas ini. Saya dah jumpa dia dan dia juga sudah memantau semua pasukan dan melihat sendiri pemain yang akan dipilih,” kata Hamidin ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.

Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan yang baharu akan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar berbanding jurulatih sebelum ini apabila dia akan turut terlibat dalam pembangunan sukan itu di Malaysia selain meningkatkan prestasi skuad futsal negara yang kurang menyerlah di peringkat antarabangsa kebelakangan ini.

Untuk kelayakan Kejohanan Futsal Piala Asia 2024 itu nanti, Malaysia telah diletakkan dalam Balang 3 daripada 31 negara yang akan bertanding dan akan mengetahui siapakah lawan dalam kumpulan apabila undian dilakukan pada 22 Jun 2023 di Ibu Pejabat AFC, Kuala Lumpur.

 

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke kejohanan itu adalah pada 2018 di mana Malaysia tersingkir pada pusingan pertama manakala gagal melepasi peringkat kelayakan pada dua edisi lalu, 2020 dan 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih baharu skuad futsal kebangsaan bakal galas tanggungjawab lebih besar