MENGHARUNGI 2022 dengan agak baik apabila merangkul tiga kejuaraan peringkat senior, pemain remaja yang kini sudah berada dalam skuad utama kebangsaan, Justin Hoh, mahu mengekalkan disiplin yang diterapkan jurulatih remajanya, Datuk Misbun Sidek.
Menurut Justin, 19, mengakui sedih berpisah dengan Misbun sejak Disember lalu.
Namun katanya, perjuangan mesti diteruskan dalam usahanya mencipta nama sebagai pemain terbaik negara.
Pada kejohanan pertama tahun ini, berjaya sampai ke separuh akhir Kejohanan Antarabansa Estonia di Tallinn, dan menewaskan tiga lawan yang berada di ranking jauh lebih baik daripadanya termasuk pemain ranking ke-72 dari Estonia, Kalle Koljonen, sebelum tewas kepada pemain Jepun Yushi Tanaka, di separuh akhir kejohanan itu.
Justin melonjak tiga anak tangga kini di ranking ke-149 dunia, mengakui dia perlu lebih bersedia apabila menjejakkan kaki ke dalam skuad senior.
“Saya tahu, dalam skuad senior, selain disiplin tinggi, mengikut latihan berkualiti juga penting dan semuanya bergantung kepada diri saya,” katanya.
Bersama skuad senior, dia perlu mengikuti latihan jam 6.30 pagi setiap hari, namun Justin mengekalkan rutin harian yang diamalkan sejak berlatih bersama Misbun.
“Saya masih bangun pukul 4 pagi, dan akan melakukan latihan tambahan seperti diajar coach Misbun. Dua tahun saya berlatih di bawahnya dan saya sudah terbiasa.
“Bersama Misbun, latihan bermula jam 4.30 pagi setiap hari dan saya sedar manfaat yang mahu diterapkan jurulatih, ia akan jadikan saya seorang yang berdisiplin. Untuk bangun awal pagi, saya perlu tidur lebih awal,” kata Justin, mengakui, dia mula merehatkan dirinya untuk tidur jam 9 malam setiap hari.
Sepanjang 2022, Justin merangkul tiga kejuaraan kejohanan senior berstatus antarabangsa, iaitu Kejohanan Antarabangsa Bonn (Jerman), Terbuka Croatia dan Antarabangsa Malaysia Disember lalu.
Hujung bulan ini, Justin akan mengambil bahagian di Kejohanan Cabaran Antarabansa Fajr, Iran, yang akan bermula 31 Januari hingga 5 Februari, dalam usaha menaikkan rankingnya ke tahap lebih baik.