KETUA Jurulatih skuad wanita Sabah, Justin Ganai menganggap kejayaan membawa pasukannya muncul juara sulung Liga Wanita Kebangsaan (LWN) adalah kejayaan terbesarnya dalam kariernya sebagai jurulatih.

Sabah muncul juara selepas mengikat Malaysian University 1-1 dalam aksi terakhir liga yang penuh dramatik sekaligus mengutip satu mata berharga untuk dinobatkan sebagai pemenang liga wanita buat kali pertama.

Justin yang sebelum ini bersama skuad lelaki Sabah sering mendapat tempat kedua tetapi kini berbangga kerana akhirnya dikalungkan pingat juara dan dia berterima kasih kepada semua pemain dan pegawai pasukan Sabah yang bersamanya.

“Kemenangan ini sebagai hadiah buat saya kerana sebelum ini saya sering mendapat tempat kedua sahaja. Nyaris saya kempunan sekali lagi tetapi akhirnya rezeki menjadi milik saya dan pasukan.

“Saya ucapkan terima kasih buat semua yang terlibat dalam persatuan kerana bersetuju menghantar pasukan ini bertanding dan akhirnya muncul juara pertama kejohanan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pelatih berusia 67 tahun itu juga mahu bersedia lebih awal untuk menghadapi saingan liga musim hadapan dan dia juga mahu pihak persatuan menyediakan padang latihan yang lebih baik bagi memastikan para pemainnya lebih bersedia.

“Sudah tentu kita mahu membuat persiapan lebih awal kerana lebih sukar untuk mempertahankan kejuaraan. Banyak pemain saya yang masih muda dan perlu dibentuk bagi menggantikan legasi yang ditinggalkan pemain yang lebih senior.

“Di Sabah kami kekurangan padang latihan dan kami hanya berlatih ala kadar sahaja dan jika perkara ini dipandang serius pengurusan, kami akan lebih bersedia untuk musim akan datang,” jelasnya.

Jaringan Siti Nursasha Ain tiga minit sebelum tamat perlawanan memastikan Sabah bangkit seminit selepas ketinggalan satu gol untuk menduduki tangga teratas liga dengan 12 mata dipisahkan kelebihan jaringan dengan Kelana United untuk bergelar juara pertama Liga Wanita Kebangsaan 2023.